Search This Blog

Monday, September 27, 2010

Kitar Hidup Walit















Burung walit sama ada dari spesis Aerodramus fuciphagus atau A. maximus secara semulajadinya akan hidup secara berkoloni sepanjang kitaran hidupnya dimana dianggarkan setiap koloni akan mencapai sehingga 1.5 juta ekor burung. Koloni burung walit ini mula terbang keluar dari sarang mereka sejak awal pagi untuk mencari makanan serangga di udara. Mereka terbang sekitar 10-12 jam tanpa henti dan hanya akan kembali ke sarang pada waktu senja.
Burung walit membiak secara seksual dimana setiap pasangan induk burung walit biasanya akan kekal dengan pasangan yang sama sehingga 18 tahun iaitu purata jangka hayat burung walit ini. Burung walit dewasa akan mula membuat sarang menggunakan air liur mereka yang diketahui umum mengandungi pelbagai zat nutrien baik sebagai makanan tambahan manusia. Kedua-dua induk walit akan bersama-sama membuat sarang sehingga siap. Proses membuat sarang ini bergantung kepada cuaca dimana pada hari panas, tempoh bagi sarang burung walit siap adalah sekitar 60 hari manakala pada hari hujan, tempoh masa akan menjadi lebih singkat iaitu sekitar 40 hari sahaja.
Setelah sarang siap dibina, pada hari ke-7 hingga ke-8 induk walit betina akan mula bertelur. Burung walit bertelur dua kali setahun dimana setiap tempoh bertelur biasanya boleh menghasilkan dua biji telur. Telur akan terus dieram dengan tempoh pengeraman akan berlaku dalam 19 hari sebelum telur menetas. Sebagaimana ketika membuat sarang, kedua-dua induk walit akan bersama-sama dan bergilir-gilir mengeramkan telur sehingga anak burung menetas.
Anak burung walit yang baru menetas akan terus tinggal didalam sarang, menunggu induk dating membawa makanan. Anggaran masa anak walit untuk mula terbang meninggalkan sarang adalah sekitar 40-50 hari.
Akibat kesan penerokaan hutan oleh manusia, gua yang merupakan habitat asal bagi burung walit ini turut mengalami ancaman yang menyebabkan hasil sarang burung walit liar semakin menurun dari semasa ke semasa. Contohnya di Gua Niah, Sarawak pada tahun 1935, dianggarkan sehingga 1.7juta ekor burung walit mendiami gua ini dan telah menurun dimana pada tahun 1996, dianggarkan jumlah burung walit yang mendiami Gua Niah hanya mencapai 200,000 ekor dan terus menurun kepada hanya 65,000 pada tahun 2002.
Defisit populasi burung walit yang bersarang di Gua Niah turut dialami di semua habitat-habitat liar yang lain. Usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak membina sarang burung walit banyak membantu memulihara populasi burung walit terutamanya di Malaysia. Penggunaan pelbagai teknologi termasuk kesan bunyi yang efektif sangat membantu dalam pemuliharaan ini.