Search This Blog

Saturday, July 31, 2010

Seminar Industri Gaharu, 22-24 Julai 2010

Pihak Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah memberi ruang dan peluang kepada pihak kami di ACS Synergy Sdn Bhd bagi mengadakan satu seminar pengenalan dan pendedahan potensi industri gaharu kepada sebahagian ahli-ahli koperasi seluruh Malaysia. Kami amat berbesar hati dan menerima tanggungjawab ini dengan ikhlas dan telahpun berjaya menyampaikan hasrat kami melalui Seminar Industri Gaharu 2010 di Hotel Langkasuka, Langkawi anjuran dari pihak ANGKASA sendiri. Seminar yang telah berlangsung selama tiga hari dua malam ini telah berjaya mengumpulkan seramai 48 peserta dari pelbagai koperasi diseluruh negara dan kami amat berterima kasih diatas sambutan dan perhatian yang amat luar biasa dari para peserta.

Seminar Industri Gaharu 2010 di Langkawi ini melibatkan pembentangan empat kertas kerja iaitu Pengenalan Industri Gaharu; Kaedah Penanaman, Penjagaan dan Masalah Biasa dalam penanaman gaharu; Potensi Pasaran Gaharu; dan Analisa Kos bagi Penanaman Gaharu. Pihak kami di ACS Energy Sdn. Bhd. turut berbesar hati dengan kehadiran Pengurus Besar DBH Vietnam, Mr Triet Huynh Khanh, yang turut serta dalam beberapa pembentangan kertas kerja dan sesi soal jawab yang telah diadakan. Diharapkan, akan lebih banyak seminar pengenalan dan pendedahan potensi gaharu seperti ini akan dapat diadakan pada masa akan datang. Akhir kata, saya mewakili pihak pentadbiran dan pengurusan ACS Synergy Sdn Bhd. merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak ANGKASA diatas penganjuran Seminar Industri Gaharu ini

Disini saya ada pamerkan beberapa gambar-gambar menarik sepanjang seminar yang telah berlangsung.







Hotel Langkasuka, Langkawi tempat kami berkampung selama 3hari 2malam








Sesi Pembentangan oleh Haji Ghani Ambak








Mr Triet turut bersama-sama dalam sesi pembentangan kertas kerja








Antara Peserta-Peserta Yang Hadir





































Sesi bergambar dan pembahagian sijil penyertaan kepada peserta-peserta kursus

Monday, July 26, 2010

Kenapa Perlu Spesis Gaharu Yang Tepat?

Pengalaman lalu menunjukkan ramai pengusaha dan pelabur mengalami kerugian besar dalam industri berkaitan dengan pertanian. Antaranya adalah disebabkan oleh pemilihan anak pokok yang tidak sesuai, penentuan tanah yang salah dan tiada teknologi yang membantu untuk menghasilkan produk bermutu yang diterima pasaran.

Atas kesedaran itulah kami telah memilih Syarikat DBH, Vietnam yang telah terlibat secara langsung dengan industri berkaitan gaharu lebih dari 25 tahun sebagai rakan kongsi. Kerjasama ini sangat penting kerana kejayaan mereka yang telah terbukti dalam tanaman gaharu, inokulasi bagi menghasilkan damar gaharu dan minyak bermutu tinggi malah pasaran yang kukuh yang telah ditunjukkan oleh Syarikat DBH, Vietnam perlu kami ikuti di Malaysia. Rekod kejayaan syarikat DBH ini boleh dilihat dengan google search: Do Bau Huong Vietnam


Pokok Gaharu yang telah di inokulan akan menghasilkan teras gaharu yang baik.

Sejak tahun 2008, Syarikat ACS Synergy Sdn. Bhd telah berusaha membawa masuk teknologi dalam penghasilan gaharu ke negara kita dari Vietnam. Kami juga berusaha menjemput Mr. Huy yang merupakan pakar inokulan penghasilan damar gaharu dan pakar anak pokok gaharu Vietnam dibawa ke Malaysia. Beliau telah terlibat dalam Industri gaharu lebih 25 tahun. Lanjutan dari itu rombongan pertama Usahawam Muslim dari Marang, Terengganu telah melawat Ho Chi Minh City meninjau ladang gaharu, kaedah inokulasi, penghasilan gaharu dan minyak serta produk dari gaharu yang dipasarkan oleh Vietnam. Seterusnya rombongan susalan telah diatur dengan membawa pelbagai pihak untuk melawat ke Pusat Gaharu Vietnam yang diantaranya rombongan Exco Pertanian Negeri Terengganu, rombongan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, rombongan Golden Pharos Bhd. bersama Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri dan pelbagai Syarikat milik persendirian.


Perjanjian Usahasama Syarikat Do Bau Huong, Vietnam dan ACS Synergy Sdn. Bhd. Malaysia pada 3hb. Ogos, 2008.

Gaharu iaitu damar yang terhasil dari pokok Karas, mempunyai harga yang begitu mahal boleh mencecah sehingga RM14,000 - RM20,000 per kg untuk damar gaharu gred super dan RM50,000 seliter bagi minyak gaharu. Sebelum ini, semua hasil gaharu ini dituai dari hutan semulajadi dan kini, pokok karas semakin diancam kepupusan manakala permintaan terhadapnya semakin bertambah. Tanpa kesedaran untuk penanaman semula, negara kita mungkin tidak lagi menjadi negara pengeksport gaharu yang mempunyai nilai yang begitu tinggi dan permintaannya yang amat besar ke negara-negara Timur Tengah,Taiwan, Jepun dan sebagainya.

Kita patut menoleh ke negara jiran seperti Thailand, Myanmar dan Vietnam, dimana mereka sudah jauh meninggalkan kita dari segi teknologi dan perladangan gaharu ini.
Kekurangan maklumat yang tepat dan modal asas yang tinggi untuk membuat ladang gaharu menyebabkannya kurang diminati. Manakala agensi agensi Kerajaan pula masih lagi dalam perengkat kajian dan percubaan. Penanaman pokok karas sudahpun dilakukan oleh beberapa agensi swasta yang ada di beberapa tempat di negara kita. Penyelidikan dalam penghasilan gaharu melalui kaedah suntikan juga giat dijalankan. Namun, kejayaannya masih dalam peringkat awal.

Penanaman pokok karas secara ladang,perlu ambil kira beberapa faktor seperti pemilihan anak benih berkualiti, jarak tanaman, kaedah tanaman, kaedah suntikan dan pasaran. Ia harus dinilai untuk mendapat hasil yang maksima selepas 5 -7 tahun pelaburan. Pertamanya, pemilihan anak benih sering menjadi persoalan. Ada yang mengatakan spesis X lebih baik dari spesis Y dan ada yang sebaliknya kerana ia lebih popular dan murah atau lebih mahal. Seharusnya kita meneliti semula beberapa kajian, pokok karas sebenarnya mempunyai method yang berbeza dengan pokok lain.

Pokok yang sihat dan membesar dengan cepat menghasilkan resin gaharu yang sedikit berbanding pokok yang sakit dan diganggu. Ia sebenarnya selari dengan kejadian semulajadi gaharu di dalam hutan, pokok yang berada di kawasan berbatu dan mengalami tindakbalas kecederaan yang teruk menghasilkan gaharu yang lebih bermutu. Kita juga harus melihat kepada permintaan pasaran, spesis manakah yang menjadi pilihan pembeli dan mempunyai harga yang tinggi. Satu-satunya benih gaharu yang kami usahakan hanya dari spesis Aquilaria Agallocha Roxb (AAR) adalah merupakan spesis yang mempunyai nilai komersil yang tinggi (kajian pasaran:www.thechimhyang.co.kr/eintro.html).


Tapak Semaian Gaharu Agallocha di Terengganu

Manakala kaedah penanaman, jarak penanaman 6″x6″ atau 10″x10″ menghasilkan jumlah tanaman pada 1000 pokok atau 600 pokok seekar. Penanaman secara intergrasi dengan getah dan kelapa sawit adalah lebih meminimunkan risiko, malahan memberi pulangan jangka pendek yang boleh menampung kos keseluruhan. Sulaman boleh dilakukan dengan tanaman herba dan tanaman kontang. Jarak yang sesuai harus dilihat.

Selepas pokok karas mencapai usia 3 -5 tahun, suntikan sejenis microorganism dilakukan supaya pokok mula menghasilkan damar atau resin dan dibiarkan selama enam bulan hingga dua tahun sebelum tuaian hasil dilakukan. Perlu diingatkan, tanpa teknologi ini pokok karas sukar membentuk damar gaharu di dalamnya dan mungkin memerlukan masa yang sangat lama sebelum boleh dituai. Berbeza dengan spesis semulajadi, gaharu terbentuk pada usia pokok 20 - 40 tahun melalui gangguan fizikal atau microrganisme. Kerana itu bagi tanaman gaharu secara ladang species A. Agallocha Roxb sahaja yang diketahui kini mampu menghasilkan gaharu dan minyak bermutu tinggi yang mendapat pasaran perengkat Antarabangsa.

Pengalaman Syarikat Do Bau Huong, menunjukkan setiap pokok menghasilkan gaharu bernilai sehingga RM1,000 – R3,000. Mungkin tidak keterlaluan jika kita meletakkan RM1,000 sahaja untuk sepokok yang menghasilkan gaharu. Bayangkan anda menanam 1,000 pokok dan anda berpeluang menjadi jutawan, InsyaAllah. Malahan jika hanya 50% sahaja yang menjadi, jumlah pendapatannya masih lumayan! Tetapi, kita perlu menilai samaada spesis yang ditanam dan kaedah suntikan yang di buat adakah telah berjaya atau diperengkat percubaan Oleh itu, amat penting untuk kita semua memperolehi sebanyak mungkin maklumat untuk merealisasikan penanaman pokok karas secara ladang. Kami mencadangkan untuk kita menanam species yang terbukti menghasilkan mutu gaharu yang tinggi dan mutu minyak gaharu yang mendapat pasaran Antarabangsa tinggi.


Sijil Pengesahan benih A. agallocha Roxb oleh pengeluarnya, DBH Vietnam

Thursday, July 15, 2010

Gaharu dari Aspek Ekonomi

Menurut satu kajian yang telah dijalankan oleh CITES, terdapat 20 negara yang terlibat di dalam perdagangan gaharu di seluruh dunia. Malaysia dan Indonesia menjadi pengeluar dan pengeksport terbesar gaharu sejak sekian lama. Menurut perangkaan dari tahun 1995 hingga 1997, eksport Malaysia berjumlah 340 ton dari Semenanjung Malaysia dan 530 ton Sarawak.

Sebahagian besar dari sumber dari Malaysia ini dieksport ke Singapura , Taiwan dan Negara-negara Timur Tengah. Pada tahun 1988 – 1998 sahaja, Taiwan telah direkodkan mengimport sebanyak 10 ribu tan kayu gaharu Malaysia. Penggunaan gaharu dalam upacara agama terutama agama Islam, Kristian dan Buddha sangat tinggi dan dianggarkan sehingga melebihi 3,500 tan setahun.

Walaubagaimanapun, semua eksport gaharu tersebut adalah dari hutan Asli yang hasilnya makin berkurangan dan dikhuatiri akan lenyap akibat pembangunan, pembukaan tanah dan aktiviti pengambilan hasil gaharu secara haram yang tidak terkawal. Misalnya pada tahun 1993, Indonesia telah mengeksport lebih 661 tan tetapi pada 1997 pengeluarannya hanya setakat 303 tan. Begitu juga di Malaysia, nilai eksportnya turun dari 436 tan(1993) ke 216 tan(1997), Singapura, dari 328 tan ke 94 tan. Sementara India penurunan eksport dari 151 tan tahun 1995 kepada 44tan tahun 1997.

Akibat kekurangan bekalan, harga gaharu dunia terus meningkat. Dalam tahun 80an, 1 kg kayu gaharu sekitar RM1,000 hingga RM1200 sahaja. Tetapi harga sekarang meningkat tinggi hingga mencecah RM8000-15,000 bagi setiap kilogram dan minyak agarwood berharga sehingga RM50,000 setiap liter.

Berdasarkan harga semasa hasil pulangan bagi satu Hektar dengan 1,000 pokok (USD 1,000 /kg untuk kayu gaharu RM 4000 hingga RM15,000 satu pokok dan minyaknya mencecah RM50ribu seliter.

Gaharu merupakan sejenis resin yang telah diketahui umum mempunyai nilai yang tinggi dimana nilai kayunya boleh mencapai sehingga RM15,000.00/kg manakala nilai minyaknya boleh mencecah RM50,000.00/kg. Data (Cites, 1997) menunjukkan negara-negara asia tenggara mengeksport lebih daripada RM48 juta ke Arab Saudi yang mana dianggarkan 26% dari nilai tersebut adalah datangnya dari sumber Malaysia. Diseluruh dunia, pasaran gaharu secara sah adalah berjumlah RM200 juta.












Walaubagaimana pun jumlah ini dianggarkan hanyalah memenuhi sekitar 20% daripada permintaan sebenar gaharu dunia. Adalah dijangkakan bahawa transaksi gaharu boleh mencecah sehingga satu Billion Dollar sekiranya sumber yang secukupnya mampu dibekalkan.

Pelbagai gambar tentang usaha tanaman gaharu

Berikut kami ada mempamerkan beberapa gambar-gambar yang menunjukkan aktiviti penanaman gaharu yang telah dan sedang dijalankan khas untuk tatapan semua.















Gambar 1; Anak benih A. agallocha Roxb yang boleh didapati di nurseri kami di Bukit Payong, Terengganu.
















Gambar 2; Anak pokok gaharu berusia enam bulan yang ditanam di ladang















Gambar 3; Pokok gaharu berusia 4 tahun yang bersedia untuk proses Inokulan














Gambar 4; Antara teknologi pengekstrakan yang ada di kilang kami di Kuala Terengganu
















Gambar 5; Contoh kayu gaharu yang berkualiti tinggi




















Gambar 6; Batang pokok gaharu yang berumur dua tahun

Wednesday, July 14, 2010

Jenis Gaharu Yang Berpotensi

Pokok gaharu juga mempunyai pelbagai nama tempatan antaranya pokok karas, pokok depu dan pokok candan. Pokok gaharu terdiri dari famili Thymelaeaceae yang mempunyai lebih daripada 17 spesis daripada genus Aquilaria yang dipercayai berpotensi menghasilkan minyak gaharu yang berkualiti tinggi.

Di Malaysia sahaja terdapat lima spesis gaharu aquilaria yang utama iaitu A. malaccensis (gaharu, karas atau depu), A. hirta (candan), A. microcarpa (garu), A. rostrata dan A. beccariana (gaharu tanduk). Manakala di negara lain pula diantaranya adalah seperti A. crassna (Indochina) dan A. sinensis (Selatan China dan Taiwan), A. sub-intergra (Thailand dan Myanmar) manakala spesis A. agallocha Roxb (India dan Vietnam) merupakan spesis gaharu yang paling mendapat tempat dengan nilai komersil yang paling tinggi dengan kelas minyak gaharu yang terbaik dikalangan spesisnya yang lain.

Sehingga kini tidak ada rekod kejayaan penghasilan resin gaharu melalui teknik mikrobiologi (Inokulan) di Malaysia. Melalui usahasama yang telah kami jalinkan, kami berupaya membekalkan benih-benih gaharu dari spesis A. agallocha Roxb ini untuk ditanam secara ladang di negara kita melalui nurseri yang kami wujudkan di Bukit Payong, Terengganu dan beberapa ladang gaharu di Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Johor dan Sarawak.

Pengenalan Khas Tentang Gaharu

LATAR BELAKANG GAHARU

Gaharu adalah sejenis damar beresin (resinous wood) diperolehi daripada pokok karas yang mengalami masalah atau stress samada akibat jangkitan penyakit, kerosakan fizikal atau kekurangan sumber untuk pertumbuhan yang normal.

Keistimewaan damar beresin pada gaharu ini mengandungi kandungan resin yang mengeluarkan wangian apabila dibakar. Disebabkan ciri khas inilah menjadikan damar gaharu boleh dijadikan sumber komoditi yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi berdasarkan klasifikasi dan gred tertentu. Walaubagaimanapun, terdapat juga sesetengah pokok gaharu yang tumbuh tanpa damar beresin yang menjadikannya tidak mempunyai nilai ekonomi tinggi.

Secara semulajadinya, pembentukan damar pada pokok gaharu memakan masa yang lama bergantung kepada faktor-faktor yang dinyatakan terdahulu. Malah, pokok gaharu liar yang sepatutnya tumbuh liar dihutan negara kita semakin mengalami kemerosotan dan ancaman akibat aktiviti pembalakan, pembukaan tanah-tanah baharu dan akibat dari buruan pencari gaharu haram.

Sebagai alternatif, kini penghasilan damar gaharu secara buatan dan melalui kaedah penanaman pokok gaharu secara perladangan dan besar-besaran menjadi pilihan dan semakin mendapat tempat dikalangan usahawan tempatan bagi menggantikan kaedah tradisional yang kurang produktif.

Penggunaan gaharu kini semakin berkembang luas terutamanya di negara-negara maju meliputi pelbagai aspek saperti bahan wangian, perubatan, minuman, kebudayaan sehinggalah kepada upacara keagamaan. Sifat minyak gaharu yang mampu mengekalkan wangiannya dalam jangkamasa yang lama juga merupakan kelebihan yang menjadikan pengusaha wangian menggunakannya sebagai bahan asas utama dalam campuran minyak wangi.

Menyedari potensi yang ada pada gaharu sebagai sumber ekonomi baru di Malaysia, yang boleh dipelopori khususnya dikalangan penduduk luar bandar, syarikat kami telah mengadakan jalinan usahasama dengan sebuah syarikat dari luar negara yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri berkaitan gaharu dan mempunyai rangkaian pasaran dunia yang sangat besar dimana mereka berminat untuk mengadakan pelaburan dinegara kita ini.

Melalui kerjasama itu juga, syarikat kami kini mempunyai kepakaran bioteknologi untuk menghasilkan resin gaharu secara Inokulan dimana teknologi ini mampu menghasilkan minyak gaharu yang bermutu tinggi. Malah kami juga berupaya untuk melakukan pengekstrakan kayu gaharu juga dengan tujuan untuk mendapatkan minyak gaharu ini dengan penubuhan kilang pengekstrakan sendiri.